Wednesday, June 13, 2012

Naib Presiden Filipina hadir sesi interaksi bersama Persatuan Pengakap Malaysia


2012/05/28

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Filipina, Jejomar C Binay, yang sedang dalam lawatan ke Malaysia, hari ini menghadiri sesi interaksi bersama pegawai dan anggota Persatuan Pengakap Malaysia (SAM). 

Binay, yang tiba di sini semalam untuk lawatan tiga hari, adalah presiden kebangsaan Pengakap Filipina dan pengerusi semasa Jawatankuasa Pengakap Serantau Asia Pasifik dalam Pertubuhan Pergerakan Pengakap Dunia.
Sesi interaksi itu, yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa di sini, adalah usaha berterusan untuk menggalakkan kesetiakawanan dalam kalangan komuniti pengakap di kedua-dua negara.
Ketibaan Binay disambut oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr Mohd Shahrom Osman. 

Turut hadir ialah Duta Filipina ke Malaysia, J Eduardo Malaya. 

Binay menggesa 200 pengakap yang menghadiri sesi itu supaya bangun mendepani cabaran dunia hari ini dan sentiasa bersiap siaga untuk memberi respons serta khidmat mereka kepada golongan yang memerlukan. 

Beliau berkata, perkara ini relevan kerana menggambarkan cabaran yang sentiasa berkembang bagi setiap pengakap, daripada merapikan diri menjadi individu yang boleh memberi respons dalam kes kecemasan, sehinggalah menjadi seorang warga yang sentiasa responsif kepada komuniti di samping cabaran global. 
"Cabaran baru bagi kita sebagai pengakap adalah untuk sentiasa responsif kepada bencana alam dan bencana buatan manusia serta berupaya untuk menyelaraskan usaha kita di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa," katanya. 

Beliau berkata, pengakap perlu meningkatkan peranan aktif mereka dalam melindungi alam sekitar. 

Binay mempelawa SAM untuk mengambil bahagian dalam bengkel yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengakap Serantau Asia Pasifik bagi Koresponden Kehormat di Manila dari 22 hingga 25 Jun, yang bertujuan menggubal strategi dan membangunkan gaya serta standard komunikasi. 

"Kita perlu mendokumentasi pengalaman dalam kegiatan pengakap, bukan hanya untuk memelihara saat paling berharga sebagai pengakap tetapi untuk berkongsi pengalaman itu bersama rakan pengakap lain di seluruh dunia," katanya. 

- BERNAMA

No comments: